Pengeboman Bali: Tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo mengaku salah berkonspirasi

Pengeboman Bali: Tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo mengaku salah berkonspirasi

Dalam pengakuan bersalah itu mereka bersetuju memberi keterangan terhadap rakyat Indonesia Encep Nurjaman.

Nazir Lep (kiri) dan Farik Amin ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba, kerana dituduh terlibat serangan bom di Bali dan Jakarta lebih 20 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Dua suspek pengganas rakyat Malaysia mengaku bersalah semalam kerana terlibat dalam serangan bom di Bali pada 2002, selepas 20 tahun menjadi tahanan tanpa bicara di Teluk Guantanamo, Cuba.

Nazir Lep dan Farik Amin, bersama rakyat Indonesia, Encep Nurjaman, dikatakan menjadi dalang serangan ditahan selepas diberkas di Thailand pada 2003.

Mereka kali pertama dituduh pada 2018 membabitkan sembilan kesalahan berkait pengeboman di kelab malam Bali pada 2002, yang membunuh 202 orang, dan pengeboman Hotel Marriott pada 2003 di Jakarta, mengakibatkan 11 maut.

Dalam pengakuan bersalah, Nazir dan Farik bersetuju memberi keterangan terhadap Encep, yang lebih dikenali sebagai Hambali.

Menurut New York Times, pertuduhan ke atas kedua-duanya sebagai leftenan kepada Hambali atau individu direkrut Hambali untuk “mengambil bahagian dalam pengeboman nekad yang tidak direalisasikan ke atas sasaran Amerika Syarikat (AS)”.

Pengakuan bersalah mereka bagaimanapun tidak menyebut sebarang kaitan dalam pengeboman di Jakarta pada 2003.

Sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalah, pertuduhan membabitkan keganasan, serangan ke atas orang awam dan struktur awam, termasuk cubaan membunuh digugurkan pendakwa.

Hakim Wesley A Braun dari tentera udara, memberitahu defendan bahawa walaupun mereka mungkin tidak secara peribadi melaksanakan pengeboman, mereka mengaku bertanggungjawab secara jenayah sebagai ahli konspirasi menyalahi undang-undang.

Defendan turut bersetuju dalam pengakuan bersalah berhubung naratif hubungan mereka dengan Al Qaeda dan gerakan Jemaah Islamiyah. Mereka juga bersetuju Hambali memberi galakan untuk pergi ke Afghanistan bagi mendapatkan latihan asas senjata api dan ketenteraan bersama Al Qaeda, pada 2000.

Pada lewat 2011, Hambali memilih kedua-duanya untuk mengambil bahagian dalam serangan nekad yang tidak direalisasikan ke atas AS, yang disebut sebagai “operasi jihad”. Mereka juga perlu taat setia kepada Osama bin Laden.

Dalam pengakuan bersalah, Nazir dan Farik tidak menyatakan mereka mengetahui atau mengambil bahagian dalam pengeboman Bali, namun mereka mengaku kembali ke Asia Tenggara pada awal 2002, dan sedar Hambali menjadi individu dikehendaki sebelum dan selepas pengeboman, serta membantunya mengelak ditangkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.