Pengarah, penerbit ‘Mentega Terbang’ didakwa melukakan perasaan agama orang lain

Pengarah, penerbit ‘Mentega Terbang’ didakwa melukakan perasaan agama orang lain

Khairi Anwar Jailani dan Tan Meng Kheng bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Khairi didakwa “melukakan perasaan agama orang lain”, dalam peranannya sebagai pengarah dan penulis skrip untuk filem itu.
KUALA LUMPUR:
Pengarah “Mentega Terbang”, filem “indie” tempatan yang diharamkan, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan melukakan perasaan agama orang lain.

Khairi Anwar Jailani mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairi didakwa melukakan perasaan agama orang lain, dalam peranannya sebagai pengarah dan penulis skrip untuk filem itu.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 12.34 tengah hari, 26 Feb 2023 di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam N Surendran dan Zaid Malek.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain melarangnya mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu sepanjang perbicaraan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mac.

Di mahkamah berasingan, penerbit Tan Meng Kheng yang didakwa atas tuduhan sama turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Tan turut diwakili Surendran dibenarkan ikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan dikeluarkan perintah larangan.

“Mentega Terbang” mengisahkan konflik keagamaan dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, ia dikritik kerana beberapa adegan dikatakan bertentangan ajaran dan akidah Islam.

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem itu pada 1 Sept, yang mana kedua-duanya berkata ia “tidak rasional” kerana melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bulan lalu, Tan dan Khairi memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memulakan cabaran undang-undang terhadap kerajaan berhubung keputusan mengharamkan filem itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.