Najis tikus dalam stor makanan, 3 restoran diarah tutup

Najis tikus dalam stor makanan, 3 restoran diarah tutup

Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata semua premis makanan itu diarah tutup selama 14 hari.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengarahkan tiga premis makanan di George Town diarah tutup selepas pemeriksaan di stor bahan mentah menemui najis tikus selain berbau kencing haiwan itu.

GEORGE TOWN:Tiga premis makanan diarahkan tutup selepas pemeriksaan menemui najis tikus dalam stor menyimpan bahan mentah ketika Op Tegas oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MBPP dalam kenyataan berkata arahan penutupan selama 14 hari sehingga 30 Jan ini dibuat di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan MPPP 1991.

“Operasi disertai 11 pegawai Jabatan Pelesenan dibantu dua pegawai Jabatan Penguatkuasa serta dua pegawai Bahagian Perhubungan Awam, bertujuan memantau premis makanan di bahagian pulau, Pulau Pinang supaya menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

“Lima premis telah diperiksa dan tiga daripadanya diarah tutup, selepas pemeriksaan pada stor penyimpanan bahan mentah didapati berbau air kencing tikus yang seterusnya membawa kepada penemuan najis tikus,” menurut kenyataan itu.

MBPP berkata semua lima premis makanan terbabit turut diberi Notis Tentang Kesalahan (NTK) mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 Seksyen 47(1) kerana didapati tidak menyelenggara perangkap minyak.

MBPP menerusi Jabatan Pelesenan, sentiasa mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis makanan di bawah kendaliannya mengikut standard ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.