
Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, duda anak tiga itu didakwa memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Baru, Seberang Perai Utara pada 2.30 pagi, 16 Dis 2023.
Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili peguam Tan Yi Bin dan Chew Anthony.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu ia dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM7,000 sebulan yang sudah bercerai perlu menyara tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Dalam kejadian itu, dua guru dilaporkan maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan BMW yang hilang kawalan.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri pertemuan makan malam bagi meraikan rakan guru mereka yang akan bertukar sekolah.
Hasil ujian pernafasan dilakukan ke atas pemandu BMW itu mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan.