Ketatkan undang-undang ‘cilok’, kurangkan kematian penunggang motor, kata penganalisis

Ketatkan undang-undang ‘cilok’, kurangkan kematian penunggang motor, kata penganalisis

Karisma Putera Rahman berkata, masalah lazimnya akibat sikap pemandu dan penunggang, bukan keadaan jalan raya.

Walaupun tindakan mencelah antara lorong dibenarkan di banyak negara namun ia tertakluk kepada peraturan yang ketat.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis dasar menggesa pelaksanaan undang-undang lebih ketat berkait perbuatan “mencilok” atau digelar “lane splitting” di jalan raya oleh penunggang motosikal bagi mengurangkan kadar kematian golongan itu.

Karisma Putera Rahman dari badan pemikir Bait Al-Amanah berkata, masalah sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu dan penunggang sendiri, bukannya keadaan jalan raya.

Bercakap kepada FMT, Karisma berkata keadaan jalan raya Malaysia setaraf “kebanyakan negara Eropah”.

“Kita setaraf dengan UK. Masalahnya pada sikap pemandu dan penunggang motosikal.

“Tiada undang-undang jelas berhubung ‘lane splitting’, kerana itulah kita lihat motosikal bertukar-tukar laluan,” katanya.

“Lane splitting” dan “filtering” adalah istilah digunakan untuk menggambarkan penunggang motosikal yang “mencilok” dan mencelah antara laluan di jalan raya.

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2021, kadar kematian jalan raya Malaysia per 100,000 orang adalah 22.5, iaitu jauh tinggi berbanding negara seperti Jepun (2.24) dan Switzerland (2.6).

Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022 yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan, melaporkan purata kematian tahunan sebanyak 6,540 dalam tempoh sedekad sehingga tarikh penerbitan. Sebanyak 60% kematian dilaporkan dalam tempoh itu melibatkan penunggang motosikal.

Karisma berkata, walaupun “lane splitting” dan “filtering” dibenarkan di banyak negara, perbuatan itu tertakluk kepada peraturan ketat. Contohnya, di Jerman, “lane splitting” dilarang, manakala “filtering” dibenarkan hanya dalam keadaan lalu lintas tidak bergerak.

Beliau mencadangkan supaya undang-undang digabungkan dengan program pendidikan pemandu lebih komprehensif bagi mendidik penunggang motosikal mengenai amalan pemanduan selamat. Menurutnya, kurikulum sedia ada tidak meliputi isu seperti “lane splitting” dan “filtering”.

Perluas laluan sikal seluruh negara

Sementara itu, pakar keselamatan jalan raya, Rosli Khan mencadangkan supaya kerajaan memperluas lorong motosikal di seluruh negara, kerana buat masa ini masih terhad di kawasan khusus seperti Lebuh Raya Persekutuan dan Putrajaya.

Rosli Khan.

Katanya, Malaysia wajar melaksanakan dasar sama seperti di Indonesia dan China yang melarang motosikal digunakan di lebuh raya.

Negara-negara ini merekodkan kadar kematian lalu lintas lebih rendah iaitu 11.3 di Indonesia dan 17.4 di China per 100,000, berbanding 22.5 di Malaysia.

“Tidak selamat untuk penunggang motosikal seiring kenderaan empat tayar atau lebih di lebuh raya kerana semua orang menggunakan kadar kelajuan lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.