
Grab dalam kenyataan berkata, struktur pendapatan baharu yang berkuat kuasa semalam itu “memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif”.
Pembaharuan struktur itu akan memastikan tempahan yang menghendaki lebih banyak masa dan usaha akan “dibayar dengan lebih adil”, tambahnya.
Dalam struktur baharu itu, tambang asas dikurangkan manakala insentif dinaikkan bagi penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran “pick-up”
“Ini dilakukan dengan merujuk kepada maklum balas rakan kongsi penghantaran kami baru-baru ini tentang tempahan yang melibatkan masa menunggu lebih lama di kedai-kedai atau pengambilan yang lebih jauh,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa penunggang Grab membantah struktur baharu itu dan menggesa penunggang lain memboikot syarikat itu. Poster menggesa penunggang Grab supaya tidak bekerja pada Jumaat ini juga tersebar di media sosial.
Seorang ahli kumpulan Facebook untuk penunggang, Ameruddin Abdul Halim tidak bersetuju dengan pengurangan tambang asas tetapi menggesa agar semua pihak memahami perkara ini dengan pragmatik.
“Suka tak suka, kena akui, inilah ‘nature’ kerja yang tak ada kontrak macam kerja gig ni, memang tak sesuai untuk jadi karier jangka masa panjang,” katanya dalam komen.
Bagaimanapun, seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Syana Syazana berkata, tidak salah penunggang “memperjuangkan hak mereka”.
Tambahnya, tambang yang dikurangkan tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan penyelenggaraan kenderaan memakan kos.
Pada 4 Ogos 2022, kira-kira 100 penghantar makanan menyerahkan memorandum di ibu pejabat Grab di Petaling Jaya, mengadu tentang tambang penghantaran rendah yang menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih lama.
Mereka menunggang ke ibu pejabat Grab dari 10 tempat perhimpunan di Lembah Klang sebagai sebahagian daripada “Food Delivery Blackout” yang berlangsung selama 24 jam.