
Speakar Gerakan, V Prabagaran, berkata pada 2022 kadar air tidak terhasil (NRW) adalah 37.2% dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2 bilion iaitu kira-kira 7,084 juta liter sehari.
“Punca utama kenaikan NRW yang tinggi adalah disebabkan oleh kebocoran paip.
“Gerakan berharap SPAN memberi keutamaan dan fokus kepada menaik taraf dan menyelenggara paip secara komprehensif di seluruh negara terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air,” katanya dalam kenyataan.

Prabagaran berkata, menurut data sepanjang 39,895km daripada 135,975km atau 29.3% paip lama jenis simen asbestos di Semenanjung dan Labuan melepasi jangka hayat operasi reka bentuk.
“Jalan penyelesaian bagi peningkatan kos operasi tidak boleh dijadikan sebagai alasan oleh SPAN yang kini berada bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
“Sepatutnya dalam keadaan sekarang, kerajaan mencadangkan lebih banyak insentif untuk mengurangkan kos sara hidup dan bukan mengenakan pelbagai kos tambahan kepada rakyat,” katanya.
Katanya, Gerakan kecewa dan terkejut dengan kenaikan tarif air dan menggesa SPAN menarik balik keputusan itu.
Terdahulu, SPAN mengumumkan tarif air domestik akan dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenajung dan Labuan berkuat kuasa 1 Feb.
Bagaimanapun, SPAN berkata kenaikan itu masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.