Utama kepentingan negara bukan cita-cita peribadi, kata Hajiji

Utama kepentingan negara bukan cita-cita peribadi, kata Hajiji

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah mengulangi sokongan kepada kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata gabungan itu menyokong Anwar Ibrahim demi kestabilan politik.
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menggesa semua pemimpin parti mengutamakan kepentingan negara, susulan wujud dakwaan untuk menjatuhkan kerajaan menerusi “Langkah Dubai”.

Beliau mempersoalkan tindakan pihak terbabit mengganggu kestabilan dan mewujudkan kekeliruan rakyat terutama kerajaan yang dibentuk secara sah.

“Kita jangan utamakan politik dan kepentingan peribadi.

“Kita utamakan kepentingan negara dulu,” kata pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam temubual bersama FMT.

Beliau turut mengulangi sokongannya kepada kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang genap setahun mentadbir Putrajaya pada November lalu kerana ingin melihat kestabilan.

“Saya nampak beliau mempunyai dasar baik untuk masa depan Malaysia, dasar boleh membangunkan negara di masa akan datang,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan daripada blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau mendakwa, pertemuan itu bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Awal bulan ini, Anwar “mengendurkan” spekulasi itu dengan menegaskan ura-ura berkenaan tidak menjejaskan kerajaan pimpinannya yang kekal fokus membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Hajiji berkata, sokongan Sabah kepada Anwar tidak boleh dipersoalkan di sebalik dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor bahawa pembangkang mempunyai akuan berkanun (SD) mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya.

“Dakwaan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana sokongan kerajaan perpaduan sekarang lebih daripada 150 termasuk daripada PN.”

Tahun lalu, lima Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dan pentadbirannya.

Sebelum ini, Hajiji dipetik berkata kerajaan Sabah mempunyai hubungan baik dengan Putrajaya dan menegaskan mereka yang ingin menjadi perdana menteri perlu menunggu pilihan raya sama ada disokong rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.