Rampas Cintaku 2 di iQIYI 19 Jan

Rampas Cintaku 2 di iQIYI 19 Jan

Musim kedua kembali dengan gandingan primadona iaitu Fasha Sandha sebagai Datin Safieya dan Erra Fazira sebagai Datuk Nasha, beraksi bersama barisan pelakon hebat lain.

Rampas Cintaku musim kedua akan ditayangkan di iQIYI bermula 19 Jan 2024. (Gambar iQIYI)
PETALING JAYA:
Kisah pergolakan cinta, konflik dan muslihat kembali dengan drama sensasi Rampas Cintaku 2 yang bakal ditayangkan bermula 19 Jan di platform penstriman video iQIYI.

Drama ini adalah pembuka tirai bagi tahun 2024 daripada produksi original tempatan oleh iQIYI.

Jika musim lalu, peminat disajikan hubungan cinta antara “sugar mummy” dan “anak ikan”, musim kedua pula berkisar Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) bergelut dengan dilema apabila kemunculan semula bekas suaminya, Datuk Jefri (lakonan Zarul Husin) yang cuba menggugat rumah tangga bahagia dibina bersama Rizal (Afieq Shazwan).

Peminat bakal menyaksikan gabungan barisan pelakon dari musim pertama seperti Zarynn Min, Puteri Balqis, dan Ady Mohammad, diserikan lagi dengan kehadiran Erra Fazira, Keith Foo, Lorenzo Irmann dan Zamarul Hisham yang pasti bakal mencuri hati peminat tegar drama ini.

Rampas Cintaku 2 adalah permulaan baharu untuk iQIYI Malaysia dalam menghasilkan 12 karya tempatan bakal dilancarkan tahun ini. Ini juga selari dengan misi mereka menjadikan platform penstriman itu sebagai wacana hiburan tempatan dan menyumbang kepada kepelbagaian dalam industri hiburan global.

Pengurus Besar iQIYI Malaysia dan Singapura, Jony Deng, berkata Rampas Cintaku mencetuskan gelombang global dengan lebih 100 juta tontonan digital pada musim pertamanya.

“Dengan 12 karya original tempatan yang bakal ditayangkan termasuk Rampas Cintaku 2, iQIYI giat menyemarakkan industri kreatif tempatan dan melonjakkan seni hiburan Malaysia ke persada global.

“Musim pertama Rampas Cintaku juga akan tersedia untuk ditonton di China bermula dari 19 Jan, dengan capaian lebih daripada 1.4 bilion penonton.

“Kami kini sedang memperluaskan jangkauan, meneroka genre baharu, dan bekerjasama dengan veteran yang bertapak lama mahupun bintang-bintang baharu ke dalam arena hiburan, untuk menyampaikan cerita menyentuh hati setiap penonton,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIG Production, David Teo, berkata pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan iQIYI dalam menghasilkan musim terbaru ini dan dengan hasil musim pertama yang berjaya merangkul tempat di platform global.

“MIG Production sentiasa memastikan untuk memberikan yang terbaik buat semua penonton. Rampas Cintaku 2 mempersembahkan jalan cerita serba baharu daripada musim sebelumnya.

“Dengan Rampas Cintaku 1, kami mempunyai novel sebagai rujukan namun musim ini pula naratifnya berbeza dan dengan itu kami perlu menulis semuanya semula.

“Penonton mungkin akan bosan jika kami hanya meniru dari musim sebelumnya. Oleh itu, kami menulis dengan naratif lebih berani dengan semangat tinggi untuk membawakan hiburan terbaik untuk penonton.

“Kami ingin penonton menikmati perkembangan perjalanan percintaan dan keluarga Datin Safieya,” katanya.

Ketua Produksi Original iQIYI Malaysia, Zebedee De Costa, pula berkata Rampas Cintaku 2 bukan sekadar sekuel yang unik.

“Kami bawakan jalan cerita yang belum pernah dipersembahkan di Malaysia.

“Dengan penampilan ikon ternama seperti Erra Fazira, Keith Foo, dan Zamarul Hisham, digandingkan pula dengan muka baharu seperti Ady Mohammad dan Lorenzo Irmann, musim terbaru ini bakal menyajikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, Rampas Cintaku juga bakal mencipta sejarah apabila ia menjadi drama Melayu pertama ditayangkan di China.

“Ini adalah langkah besar untuk seni hiburan Malaysia. Dengan iQIYI sebagai tapak, kami bawakan rancangan ini untuk tontonan global ke lebih 190 negara, sekali gus mengangkat industri hiburan Malaysia ke mata dunia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.