
Perdana menteri berharap rakyat terutama generasi muda tidak melayan kenyataan yang disifatkannya sebagai lapuk itu.
“Ada mantan pemimpin yang sibuk nak melindungi kesalahan mereka, dengan mencerca rakyat, orang Melayu malah orang Cina dan India tidak taat kepada negara.
“Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita,” katanya dalam Majlis Perasmian Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.
Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.
Pandangan dizahirkan Mahathir itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, Presiden Gerakan Dominic Lau, parti Muda, serta wakil-wakil rakyat semasa dan terdahulu.
Pada sidang media selepas program hari ini, Anwar menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai tidak relevan dan tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak anggap kenyataan Mahathir itu relevan, (malah) tidak bertanggungjawab (datang) daripada mantan perdana menteri sekian lama, menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti.
“Beliau memang terkenal (mengatakan) Melayu malas, melainkan dirinya sendiri … (kaum) India dan Cina (pula) dianggap kurang setia, kecuali beberapa kroni dia,” katanya.
Tambahnya, beliau menganggap semua rakyat setia dan hakikat itu perlu dihormati semua pihak.
“Kita harus mendakap keseluruhan kekuatan rakyat dan tuju soal pokok (membangunkan negara).
“(Kenyataan seperti dikeluarkan Mahathir) ini percubaan untuk alih pandangan (daripada usaha) banteras rasuah,” katanya.