Kuching, Bintulu diisytihar kawasan jangkitan rabies

Kuching, Bintulu diisytihar kawasan jangkitan rabies

Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit oleh haiwan.

Kerajaan Sarawak mengarahkan pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin dengan vaksin anti-rabies.
KUCHING:
Sarawak mengisytiharkan dua bahagian di negeri itu iaitu Kuching dan Bintulu sebagai kawasan jangkitan rabies.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Stephen Rundi Utom berkata daripada 16 sampel yang dikumpuL, 12 ekor anjing diuji positif membabitkan lapan di Kuching, Padawan (1), Bau (1) dan Bintulu (2).

“Semua anjing berkeliaran yang diuji adalah tidak divaksinasi. Justeru, saya mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan yang disyaki berpenyakit rabies,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beliau menandatangani perintah pemvaksinan anti-rabies di bawah seksyen 40 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, yang menghendaki semua anjing di dalam negeri mendapatkan vaksinasi anti-rabies dan penggalak tahunan.

Rundi berkata pemilik anjing mesti bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin dengan vaksin anti-rabies.

“Mana-mana pemilik atau orang yang menjaga anjing yang gagal mematuhi perintah ini akan didenda sehingga RM2,500.

“Manakala bagi anjing yang sudah terdedah kepada rabies yang tidak ada bukti vaksinasi akan dilupuskan,” katanya.

Rundi berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVS) Sarawak bersama dengan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) telah mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak.

“Orang ramai boleh mendapatkan vaksin anti-rabies anjing percuma mereka di mana-mana pejabat veterinar kerajaan pada waktu pejabat dan vaksinasi besar-besaran akan diumumkan dari semasa ke semasa di akaun Facebook rasmi JPVS,” katanya.

Beliau berkata tahun ini pihaknya menyasarkan untuk memberi vaksin sehingga 50,000 ekor anjing.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, Sarawak mencatatkan 16 kematian tahun lepas daripada 18 kes rabies manusia.

Jumlah kumulatif kes rabies manusia kini berjumlah 73 dengan 66 kematian sejak Julai 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.