Elak harga tak patut, KPDN Perak pantau peniaga sepanjang Tahun Melawat Perak

Elak harga tak patut, KPDN Perak pantau peniaga sepanjang Tahun Melawat Perak

Pengarah KPDN Perak Kamalluddin Ismail berkata, pihaknya turut akan menyiasat perkara yang tular di media sosial.

KPDN Perak melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor pada 7 Jan lepas. (Gambar KPDNK)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan melakukan pemantauan secara bersepadu bagi memastikan para peniaga makanan dan minuman di negeri itu tidak mengambil kesempatan seperti menaikkan harga sepanjang tempoh Tahun Melawat Perak 2024.

Pengarah KPDN Perak Kamalluddin Ismail berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana peniaga yang ingkar.

“Kita nak semua pelancong yang datang ke sini tidak terbeban dan dilindungi daripada perkara yang tidak sepatutnya berlaku, khususnya membabitkan harga makanan dan minuman,” katanya.

Kamalluddin meminta masyarakat untuk membuat laporan atau aduan segera kepada pihaknya jika terbukti terdapat peniaga yang melakukan kegiatan sebegitu.

“Kita juga akan melakukan siasatan sekiranya perkara terbabit tular dalam media sosial,” katanya pada sidang media bersempena dengan Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak di Kawasan Perusahaan IGB di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Pada 7 Jan lepas, KPDN Perak melakukan pemeriksaan mengejut terhadap sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang didakwa meletakkan harga hidangan tidak masuk akal.

Hasil pemeriksaan melalui Op Samar itu mendapati premis berkenaan tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang belum dimasak serta tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut itu.

“Kita tak mahu kejadian-kejadian ini membuatkan pelancong tidak mahu datang serta pada masa yang sama memburukkan imej negeri,” katanya hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) terhadap barangan kawalan yang akan ditentukan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Kita akan beri perhatian sewajarnya, lebih-lebih lagi Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 Februari ini … kita harap peniaga juga akan patuh dengan garis panduan ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.