Dakwaan Dr M tak jejas sokongan bukan Melayu kepada PN, kata Sanjeevan

Dakwaan Dr M tak jejas sokongan bukan Melayu kepada PN, kata Sanjeevan

Ketua penerangan sayap bersekutu Bersatu berkata kenyataan menyinggung perasaan bukan Melayu Dr Mahathir Mohamad bukan mewakili parti itu atau PN.

R Sri Sanjeevan berkata Dr Mahathir Mohamad hanya menyokong PN dan beliau tidak berada dalam kepimpinan tertinggi gabungan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sokongan bukan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak akan terjejas susulan kenyataan kontroversi Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, berkata ini kerana kenyataan menyinggung perasaan bukan Melayu oleh bekas perdana menteri jelas bukan mewakili Bersatu mahupun PN, walaupun Mahathir kerap muncul di pentas politik gabungan itu.

“Ya memang dia duduk atas pentas PN tapi sekarang apa yang Tun (Mahathir) cakap tak bermaksud mewakili PN. Tun tidak mewakili mana-mana parti.

“Tun hanya menyokong PN, dia tak duduk dalam kepimpinan tertinggi PN atau menjadi gabungan dalam PN, jadi apa saja komen Tun tak mewakili PN sama sekali,” katanya kepada FMT.

Sanjeevan berkata, walaupun pelbagai sentimen dimainkan pelbagai pihak termasuk parti lawan terhadap PN, sokongan bukan Melayu terhadap gabungan itu pada PRN enam negeri meningkat hampir 20% berbanding PRU15.

“Jadi boleh kata orang bukan Melayu (yang menyokong PN) tak terbawa-bawa dengan propaganda mana-mana pihak.”

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

Bekas pengerusi Bersatu itu juga pernah membuat kenyataan kontroversi pada kempen PRK Pulai September lalu bahawa parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

Sanjeevan yang juga ketua bersekutu Negeri Sembilan membidas cadangan “asimilasi” Mahathir itu sebagai “karut”.

“Adakah orang Melayu yang berhijrah ke negara Eropah, Amerika Syarikat, mereka kena amalkan budaya orang putih? Kalau orang Melayu berhijrah ke China, adakah dia patut jadi “orang Cina”?

“Saya tak setuju dengan asimilasi sebab takkan dia nak lepaskan budaya, bahasa yang menjadi identiti sesuatu bangsa. Kalau bahasa itu dilepaskan (dilenyapkan), bangsa itu akan pupus dalam jangka masa panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.