
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kertas siasatan dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Menurutnya, kertas siasatan akan disemak timbalan pendakwa raya esok.
“Tindakan susulan akan diambil selepas semakan itu dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa bersama antara menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia mengenai pengurusan pekerja asing.
Media sebelum ini melaporkan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan berada di Pengerang,
Mereka termasuk 171 pekerja asing yang video mereka berjalan kaki untuk membuat laporan polis kerana diperdaya ejen, tular di media sosial.
FMT kemudiannya mendedahkan lebih 90 warga Bangladesh berdepan nasib sama yang ditempatkan di premis di Kajang, ada di antaranya membayar RM20,000 kepada ejen namun tidak mendapat pekerjaan seperti dijanjikan.

Steven berkata Mahkamah Buruh akan ke Pengerang pada 5 Februari ini bagi sebutan kes 751 pekerja warga Bangladesh yang menuntut tunggakan gaji terhadap majikan mereka mengikut Seksyen 69 Akta Kerja.
“Kami dimaklumkan 751 pekerja warga Bangladesh telah memfailkan kes buruh bagi menuntut tunggakan bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM2.21 juta.
“Saman tuntutan kes buruh telah disampaikan kepada pengurus syarikat dan tarikh sebutan kes pada 5 Februari ini,” katanya.