Selangor sasar pelaburan RM50 bilion tahun ini

Selangor sasar pelaburan RM50 bilion tahun ini

Sasaran itu berdasarkan perkembangan ekonomi yang semakin baik dan mampu menambah sumbangan KDNK negara sehingga 0.5% tahun ini.

Pada 2022 Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada KDNK melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5%.
SHAH ALAM:
Selangor menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion tahun ini, lebih tinggi berbanding dicatatkan tahun lalu iaitu lebih RM45 bilion.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata sasaran itu berdasarkan perkembangan ekonomi yang semakin baik dan mampu menambah sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara sehingga 0.5% tahun ini.

“Jika kita dapat meningkatkan 0.4% hingga 0.5% daripada apa yang kita sumbangkan sekarang, maknanya daripada lebih 25% mungkin kepada sehingga 26% sumbangan KDNK negara pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baharu 2024 di Bangunan Sultan Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya beliau masih menunggu angka rasmi daripada Jabatan Perangkaan berhubung prestasi ekonomi dan pelaburan negeri itu pada tahun lalu.

Pada 2022, Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada KDNK Malaysia melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5%, dengan kenaikan sebanyak 0.7% berbanding tahun sebelumnya.

Mengenai perkembangan perobohan Stadium Shah Alam, Amirudin berkata kerja pengalihan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang dirancang untuk mengelak gangguan bekalan elektrik di kawasan Seksyen 13.

“Kita sedang berunding dengan TNB untuk mengalihkannya. Kalau buat baharu (pencawang), ia akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium, justeru, kita alihkan dulu,” katanya.

“Saya akan pastikan (perobohan) segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu, sebaliknya dilaksanakan secara manual menggunakan peralatan mesin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.