
Sinar Harian melaporkan Muhammad Fikri Shaiff, 35, membuat pengakuan itu di depan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah perintah tetap Markas Garisan Terendak.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia memakai uniform lengkap staf sarjan dengan niat ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat itu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Pos Seri Setia Kem Terendak kira-kira 6.09 pagi 14 Nov lalu.
Berdasarkan fakta kes, dia dilucutkan jawatan staf sarjan atas tindakan disiplin dan kini berpangkat prebet serta dalam proses diberhentikan kerja semasa kejadian.
Kesalahan pencerobohan dilakukan di pekarangan rumah Panglima 3 Divisyen dengan niat hendak menipu, tetapi disedari anggota bertugas di Pos Seri Setia Kem Terendak Sungai Udang.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan masyarakat, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dalam proses dokumentasi untuk tamat tugas, selain perlu menjaga ibu berusia.
Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi pertuduhan pertama atau satu bulan penjara, jika gagal bayar, serta RM400 bagi pertuduhan kedua atau dipenjara 10 hari.