
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar, berkata obsesi mengangkat tema “kepimpinan ulama” menjadikan peranan kumpulan lain dalam pimpinan PAS menjadi sempit.
“Profesional dan aktivis seakan berlaku ‘inferiority complex’ bila melibatkan kedudukan dan hierarki tertinggi parti.
“Garis keras dalam jalur pemikiran para ustaz dalam PAS biasanya terkait mengenai hukum, kebanyakan kenyataan membabitkan haram halal sesuatu perkara mengundang perdebatan sosial dan menyebabkan PAS dijauhi oleh kelompok bukan Islam,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perdebatan hukum halal dan haram dimainkan kelompok ustaz membuatkan komuniti bukan Islam menjauhi PAS, sedangkan mereka pernah menyokong perjuangan parti ketika era Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat.
“Ketokohan kepimpinan bukan ustaz dari latar belakang profesional dan muda sewajarnya diangkat dan ditolak ke hadapan,” katanya.
Justeru, katanya PAS perlu bijak mengeksploitasi imej sederhana pemimpin kelompok profesional seperti Menteri Besar Terengganu dan juga Naib Presiden Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, selain Syahir Sulaiman dan Khairil Nizam Khiruddin agar lebih menonjol.
“Keseimbangan kepimpinan mewakili semua segmen masyarakat dalam kepimpinan PAS dan kredibiliti dan kompetensi mereka berdepan dengan isu akan memberikan kekuatan berbeza kepada PAS menjelang PRU16 kelak,” kata Hisomuddin.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata PAS perlu memperjuangkan isu lebih besar untuk keamanan sejagat dan integriti, berbanding terlalu menumpukan kepada isu Melayu dan Islam.
“Slogan ‘PAS for All’ dan ‘Negara Berkebajikan’ suatu ketika dulu adalah yang terbaik. PAS juga perlu mengurangkan tumpuan terhadap isu Melayu Islam, sebaliknya perlu menumpukan isu yang lebih sejagat seperti melawan rasuah, mengukuhkan perpaduan, dan mewujudkan urus tadbir berintegriti,” katanya.