
Pengarah Bomba Perak Sayani Saidon, berkata laporan itu membabitkan keputusan analisis dua bahan bukti utama iaitu “molotov cocktail” yang diperoleh di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan bomba telah dilakukan secara menyeluruh, kita hanya menunggu pengesahan bagi menentukan bahan apa yang ditemui dalam dua bukti yang kita hantar ke makmal di Kuala Lumpur.
“Kalau ikut SOP, ia memerlukan tempoh 10 hari untuk memperoleh keputusan, jadi saya jangka kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi keputusannya akan diperoleh bagi kita lengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat Bomba Perak di Meru Raya.
Sayani berkata, siasatan yang dilakukan bomba bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada melibatkan pembakaran atau disebabkan perbuatan khianat.
“Sekiranya keputusan yang diperoleh daripada makmal menyatakan adanya unsur khianat di lokasi kejadian, maka kita akan membuat makluman kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, awal pagi Rabu lalu.