Fokus tamat gerakan politik, kata pemimpin Pemuda Umno

Fokus tamat gerakan politik, kata pemimpin Pemuda Umno

Wan Agyl Wan Hassan berkata, cuba memastikan kestabilan melalui kerajaan penggal tetap tidak akan berjaya 'jika anda gagal menguruskan politik'.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, wakil rakyat yang menukar sokongan untuk perdana menteri mungkin berbuat demikian atas sebab lain, bukan kerana prinsip. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menggesa pemimpin politik menangani gerakan politik bagi menukar kerajaan dengan melaksanakan pembaharuan ke atas undang-undang antilompat parti.

Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan berkata, beliau memahami hasrat Presiden parti, Zahid Hamidi mencadangkan Akta Penggal Tetap Parlimen, yang akan memastikan kerajaan kekal sehingga tamat penggal selama lima tahun selepas PRU.

Walaupun hasrat Zahid untuk memastikan kestabilan politik, katanya, “akhirnya ini berkaitan gerakan politik, jika anda gagal menguruskan politik, maka anda gagal memastikan kestabilan.”

Cadangan Zahid menyusul spekulasi “Langkah Dubai” untuk menukar kerajaan dengan tindakan berpaling tadah terhadap gabungan perpaduan.

Wan Agyl berkata, “Ahli Parlimen mungkin diugut atau ditawarkan sesuatu untuk menukar sokongan. Mereka takkan tiba-tiba sedar mahu sokong orang lain (menjadi perdana menteri). Ini bukan mengenai prinsip, tapi ada sebab lain.”

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang antilompat parti dan memperbaiki kelompongan sedia ada, memetik keputusan lima Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada November lalu.

Lima Ahli Parlimen itu menyokong Anwar tanpa meninggalkan parti mereka, memintas peruntukan yang akan menyebabkan kerusi mereka dikosongkan dan PRK diadakan.

‘Teruskan usaha kembalikan undi Melayu’

Seorang akar umbi Umno dari Johor berkata, cadangan itu tidak patut dibuat Zahid, sebaliknya beliau perlu membiarkan parti lain membuat gesaan itu kerana Umno “rakan kongsi agak kecil dalam kerajaan perpaduan” dari segi jumlah Ahli Parlimennya.

“Kita sebaliknya patut meneruskan usaha untuk memastikan orang Melayu kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno berkata, Umno tidak patut membuatkan ia dilihat seperti sekutu rapat Pakatan Harapan kerana “semakin kita dianggap rapat dengan PH, semakin ramai orang Melayu tidak akan menyokong kita”.

Katanya, Zahid mungkin memikirkan kepentingan sendiri, sedangkan beliau sepatutnya mengutamakan Umno dan melindungi masa depannya dengan tidak membuat kenyataan sedemikian.

Kelmarin, Zahid mencadangkan rang undang-undang khas diwujudkan untuk menghalang cubaan menjatuhkan kerajaan, susulan spekulasi “Langkah Dubai” bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Katanya, ketidakstabilan dan pertukaran kerajaan sebelum tamat penggal tidak baik untuk negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.