Wujud jawatankuasa Parlimen pantau lantikan politik, Putrajaya diberitahu

Wujud jawatankuasa Parlimen pantau lantikan politik, Putrajaya diberitahu

Bersih berkata jawatankuasa itu boleh menetapkan kriteria pelantikan ke GLC atau badan berkanun termasuk di kalangan ahli politik.

Kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas Parlimen untuk memantau pelantikan politik ke GLC, badan berkanun untuk mengelakkan kritikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menyeru kerajaan membentuk satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), khusus memantau pelantikan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Merujuk kepada pelantikan politik baharu membabitkan Naib Ketua Wanita PKR Sangetha Jayakumar sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata perlu ada kriteria jelas untuk mengelakkan kritikan.

“Perlu ada prosedur jelas berkaitan pelantikan GLC terutamanya apabila melibatkan ahli politik. Sebab lantikan ini akan menyebabkan persepsi yang tidak baik,” katanya kepada FMT.

Faisal Abdul Aziz.

Tambahnya, pertikaian sama ada mereka yang dilantik benar ada kelayakan atau sebaliknya akan dapat ditangani kerajaan dengan adanya satu “prosedur” yang jelas.

“‘Kriteria ada…’solid’ prosedur dan tahap kelayakan yang sangat tinggi. Apabila orang itu memang peroleh jawatan melalui merit, ia dapat jawab persoalan timbul”, katanya.

Mac lalu, Jawatankuasa Pemilih menubuhkan 10 JKPK Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang antaranya merangkumi bidang kewangan dan ekonomi, kesihatan serta perdagangan dalam negeri, keusahawanan, kos Sara Hidup dan pertanian.

Pelantikan Sangetha menimbulkan kritikan dan beliau sendiri pernah membuat hantaran di media sosial pada Oktober 2022 yang menyindir lantikan politik dibuat ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin.

Pada tahun lalu, bekas pengerusi Bersih Thomas Fann membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas pelantikan politik di GLC meneruskan amalan terdahulu, walaupun presiden PKR itu mendesak reformasi dilaksanakan sejak dua dekad lalu.

Katanya, pelantikan politik membabitkan naungan politik dan merugikan pengundi, jika ia melibatkan wakil rakyat sedang berkhidmat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.