
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pegawai yang bertanggungjawab ke atas Balai Polis Sri Gading itu ditukar ke unit lain yang tidak perlu berurusan dengan orang awam di IPD Batu Pahat.
“Ini adalah langkah sementara yang kami ambil. Tindakan sewajarnya akan dikenakan, jika siasatan membuktikan pembabitannya (dalam kes itu),” katanya menurut New Straits Times.
Beliau berkata tindakan akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi dan beliau menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Sebelum ini, video kejadian itu tular di media sosial menunjukkan seorang individu dipercayai pegawai polis menampar orang awam di depannya beberapa kali.
Jumaat lalu, FMT memetik Kamarul Zaman sebagai berkata video itu dirakam pada hari sama suspek ditahan pada 15 April 2023.
Katanya siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (secara sukarela menyebabkan kecederaan) dan siasatan tatatertib.