GPS mahu kerajaan terus perintah, tapi tak boleh ada ‘unsur paksaan’

GPS mahu kerajaan terus perintah, tapi tak boleh ada ‘unsur paksaan’

Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata kaedah lain perlu diteliti bagi kestabilan kerajaan terus memerintah sehingga habis penggal.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg tetap dengan pendirian mahukan politik peringkat nasional stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Unsur paksaan” tidak boleh digunakan dalam menentukan kerajaan memerintah walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpendirian mahukan keadaan politik stabil di peringkat nasional.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg, berkata justeru pembentukan rang undang-undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal memerlukan penelitian pakar perundangan.

Katanya, kaedah lain perlu diteliti bagi membolehkan kerajaan stabil terus memerintah.

“Saya tidak tahu sangat latar belakang (cadangan RUU kekalkan kerajaan) sama ada undang-undang itu boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi ia perlu diserahkan kepada pakar perundangan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan ada menyebut kebebasan untuk memilih.

“Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan tetapi boleh menggunakan kaedah lain seperti membuat peraturan untuk kita memantau keadaan politik kerana dalam amalan demokrasi rakyat bebas untuk memilih,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Kuching.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Umno Zahid Hamidi semalam, agar satu undang-undang khusus digubal bagi membolehkan kerajaan dibentuk selepas PRU, mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga premier Sarawak, berkata pihaknya tetap dengan pendirian mahukan politik peringkat nasional stabil.

“Saya tidak boleh komen lebih kerana yang GPS mahu hanyalah kestabilan politik peringkat nasional.

“Kurangkanlah langkah-langkah. Ini ada Langkah Dubailah, Langkah Londonlah. Kita tumpukanlah kepada usaha untuk memulihkan ekonomi,” katanya.

Semalam, Abang Johari mahu Anwar Ibrahim dikekalkan perdana menteri hingga tamat tempoh penggal Parlimen. Katanya, mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya.

Beliau juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.