Bersedia kenaikan tambang bas sekolah, pengusaha beritahu ibu bapa

Bersedia kenaikan tambang bas sekolah, pengusaha beritahu ibu bapa

Menurut Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia kos kenaikan antara RM10 hingga RM20 itu rendah, mengambil kira pelajar menaiki bas sebanyak 44 kali dalam sebulan.

Tambang bas sekolah tidak dikawal kerajaan sejak 1 Jan 2015, pihak industri dibenarkan menetapkan sendiri kadar perkhidmatan masing-masing.
PETALING JAYA:
Ibu bapa khususnya di Lembah Klang diminta bersedia dengan kenaikan tambang bas sekolah untuk sesi 2024/2025 bermula Mac ini, kata Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.

Menurutnya, jangkaan kenaikan antara RM10 hingga RM20 mengikut lokasi itu tidak dapat dielakkan susulan pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 pada Julai tahun lalu serta harga alat ganti import yang lebih mahal susulan penyusutan nilai ringgit.

“Untuk kenaikan tambang ini, memang ada permintaan daripada pengusaha tetapi pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha yang biasanya semua itu bergantung terhadap penyata untung rugi mereka.

“Ia juga bergantung kepada kata sepakat antara operator bas sekolah bersama ibu bapa,” katanya kepada FMT, mengulas kadar tambang baharu pada sesi persekolahan baharu Mac depan.

Tambang bas sekolah tidak dikawal oleh kerajaan sejak 1 Jan 2015, dan pihak industri dibenarkan menetapkan sendiri kadar perkhidmatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Amali berkata kos kenaikan antara RM10 hingga RM20 itu masih rendah, mengambil kira pelajar menaiki bas sebanyak 44 kali dalam sebulan.

“Ibu bapa jangan lihat kenaikan itu secara rambang, tetapi perlu dihitung berdasarkan harian.

“Contoh jika kenaikan pada kadar maksimum RM20, sehari hanya peningkatan sekitar RM0.90 sen dan jumlah itu masih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada pengusaha bas yang berdepan masalah di mana ibu bapa tidak mahu membayar tambang bas sekiranya cuti sekolah lebih dua minggu.

“Pendapatan kami bukan berdasarkan perjalanan harian atau mingguan, tetapi dibayar mengikut sesi persekolahan,” katanya mendakwa tindakan itu memberi tekanan buat pengusaha kerana perlu menanggung kos operasi sepanjang tahun, termasuk kos selenggara wajib setiap tiga bulan.

Kerajaan memberikan subsidi diesel RM1.88 seliter kepada pengusaha bas sekolah berdaftar sejak 2017. Harga semasa diesel ditetapkan pada RM2.15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.