Belum rancang bentang akta penggal tetap, tapi ada dibangkit Jemaah Menteri, kata Fahmi

Belum rancang bentang akta penggal tetap, tapi ada dibangkit Jemaah Menteri, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan itu berkata perkara itu disifatkan masih baharu dan perlu melihat kepada kesesuaian.

Fahmi Fadzil berkata, belum ada prospek untuk membentangkan akta Parlimen berpenggal tetap ke Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Belum ada rancangan membentangkan akta Parlimen berpenggal tetap (FTPA) di Dewan Rakyat, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, bagaimanapun Jemaah Menteri pernah membangkitkan kemungkinan melaksanakan akta sedemikian.

“Jemaah Menteri sebelum ini ada membincangkannya, melihat keperluan Malaysia dan kesesuaian FTPA dengan mengkaji negara yang telah melaksanakan konsep hampir sama.

“Bagaimanapun, perkara ini masih baharu dan dalam perbincangan. Belum ada prospek untuk membawanya ke Parlimen (dalam masa terdekat),” katanya jurucakap kerajaan itu selepas merasmikan bangunan sayap baharu OasisEye Specialists.

Fahmi juga menolak dakwaan kerajaan akan ditumbangkan pada bila-bila masa, sambil menyatakan FTPA ‘bukan perkara mendesak’.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mencadangkan dibentangkan rang undang-undang khas bagi menghalang apa jua cubaan menjatuhkan kerajaan dipilih, merujuk kepada spekulasi “Langkah Dubai”.

Dalam pada itu, mengulas pelantikan Sangetha Jayakumar sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA), Fahmi berkata ia bukan masalah memandangkan PKR hanya menentang lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau yang juga ketua penerangan parti, berkata PKA merupakan badan berkanun, bukan GLC.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau akan membawa ke Jemaah Menteri berhubung tuntutan rakyat yang ingin kejelasan berhubung lantikan seumpama itu.

Katanya, badan kerajaan akan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh latar belakang lantikan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menjamin mereka mempunyai kredibiliti dan tiada rekod jenayah, manakala ada lantikan memerlukan perkenan Agong.

Pada Khamis, Sangetha yang juga naib ketua Wanita PKR mengesahkan beliau dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah PKA dalam catatan Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.