
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, niat untuk menyebabkan kematian tidak boleh diketepikan kerana kejadian itu berlaku pada masa penghuni berada di rumah.
Beliau menggesa perkara itu disiasat dari semua sudut kerana masa serangan itu dilakukan menunjukkan kemungkinan besar bahawa ia dimaksudkan untuk menyebabkan lebih banyak bahaya.
“Pelaku memilih untuk melakukan (serangan) ketika mangsa sedang tidur dan tidak berdaya. Justeru, niat untuk menyebabkan kematian tidak boleh diketepikan,” katanya dalam kenyataan.
Ramkarpal juga berkata, siasatan mesti merangkumi sama ada pelaku didorong atau dihasut untuk melakukan perbuatan itu oleh kenyataan “pihak yang tidak bertanggungjawab”.
“Dalam keadaan itu, pihak-pihak tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada Rabu, polis menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes serangan bom Molotov di rumah pemimpin DAP Perak itu.
Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 30an yang ditahan di Shah Alam, Selangor, itu tidak mempunyai rekod jenayah.
Kejadian itu mengakibatkan tiga kenderaan milik Ngeh rosak pada awal pagi Rabu, dan sebiji botol dipercayai bom Molotov ditemukan di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
Ngeh kemudian dilaporkan berkata, pihak yang bertanggungjawab atas kejadian itu mungkin termakan hasutan orang lain, dan disesatkan oleh kepalsuan yang direka-reka oleh PAS dan Bersatu berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 28 Dis.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila beliau mencadangkan agar pakar perlembagaan bukan Islam dilantik menganggotai jawatankuasa yang mengkaji percanggahan antara undang-undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Ngeh kemudian memohon maaf dan berkata beliau tidak sedar jawatankuasa itu dibentuk bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), yang diketuai Sultan Selangor.
Wakil rakyat DAP itu menjelaskan, beliau tidak mempunyai niat mencampuri hal ehwal Islam dan hanya membuat saranan berkenaan supaya semua pandangan diambil sebelum sebarang pindaan Perlembagaan dibuat.