Pengislaman sepihak: Menteri arah Jakim rujuk jawatankuasa undang-undang syariah

Pengislaman sepihak: Menteri arah Jakim rujuk jawatankuasa undang-undang syariah

Mohd Na'im Mokhtar berkata, ini supaya perkara berkaitan pendaftaran pengislaman dapat diharmonikan dengan undang-undang sedia ada.

Mohd Na’im Mokhtar percaya penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Loh Siew Hong dibuat berdasarkan pengalaman dan kebijaksanaan panel hakim, berpandukan Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diarahkan merujuk perkara pengislaman sepihak kepada jawatankuasa khas berhubung undang-undang syariah bagi menyelaraskan prosedur penukaran agama kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau meminta Jakim merujuk jawatankuasa khas tersebut agar perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengislaman dapat dihalusi untuk diharmonikan dengan undang-undang sedia ada.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam itu dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Zaki Azmi.

Arahan menteri ini berikutan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada Rabu membatalkan pengislaman anak-anak Loh Siew Hong empat tahun lepas.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman sepihak tiga kanak-kanak bawah umur itu sebagai tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Sebaliknya, Mahkamah Rayuan berkata, ia terikat dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi, yang memutuskan penukaran agama kanak-kanak bawah umur memerlukan keizinan kedua-dua ibu bapa.

Berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu, Na’im berkata, beliau percaya penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan panel hakim, berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Na’im berkata, pada masa ini, lapan negeri memerlukan keizinan hanya salah seorang daripada ibu atau bapa untuk anak-anak bawah usia 18 tahun diislamkan, iaitu Wilayah Persekutuan; Melaka; Sarawak; Negeri Sembilan; Perak; Kedah; Terengganu; dan Perlis.

Lima negeri lain – Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Johor, dan Pahang – menghendaki keizinan kedua-dua ibu dan bapa untuk anak memeluk Islam.

Susulan keputusan dalam kes Loh, Na’im menyeru agar semua umat Islam di negara ini, malah seluruh rakyat Malaysia agar tidak memberikan ulasan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, menjejaskan perpaduan dan keharmonian.

Anak-anak Loh diislamkan secara sepihak oleh bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy di Perlis pada 2020.

Loh kemudian memohon pengisytiharan mahkamah bahawa peruntukan dalam enakmen negeri yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur secara sepihak bercanggah dengan perlembagaan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa anak kembarnya berusia 15 tahun dan anak lelakinya berusia 12 tahun masih beragama Hindu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.