
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, berkata ini kerana ia tidak seimbang memandangkan golongan Bumiputera mewakili 70% penduduk di Malaysia.
Katanya, data ekonomi Bumiputera dikeluarkan Forbes itu boleh dijadikan kayu ukur mengenal pasti beberapa langkah yang perlu dilaksanakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), pada bulan depan.
“Menurut data itu, daripada 50 jutawan yang disenaraikan, hanya terdapat tiga orang Melayu sahaja di dalamnya iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, dan Tan Sri Azman Hashim.
“Apa yang dikesalkan golongan Bumiputera ini merupakan 70.1% penduduk di negara ini, tetapi hanya tiga orang sahaja dalam senarai berkenaan,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Sahabat Ar Rahnu Cawangan Pontian, di Pontian.
Beliau yang juga timbalan menteri kerja raya, berkata KEB diharap menjadi platform terbaik melahirkan lebih ramai usahawan, sekali gus memperkasakan ekonomi golongan Bumiputera.
Katanya, dalam usaha memperkasa ekonomi Bumiputera, dicadangkan supaya gerakan menggalakkan lebih 400,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan kerjaya usahawan sebagai pilihan utama wajar dilaksanakan.
“Perlu jadikan pilihan kerjaya keusahawanan pilihan utama dan nombor satu barulah kita boleh menguasai ekonomi, bukannya membudayakan kerja makan gaji semata-mata,” katanya.
Menurutnya, pengerusi bersama KEB iaitu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli akan mengumumkan topik perbincangan pada kongres itu nanti.
Pada 5 Jan, Zahid dilapor berkata KEB akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebagai usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera.
Zahid dipetik sebagai berkata, kongres dianjurkan atas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri itu akan memberi tumpuan kepada 10 kluster utama, antaranya reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan penguasaan teknologi baharu.