
Dalam hantaran di media sosial, Noriya Mamat dari Terengganu mendakwa kereta baharu itu telah berada di pusat penyelenggaraan sejak empat bulan lalu.
“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk kereta yang tidak saya gunakan,” katanya.
Menurutnya, dia membeli kenderaan itu pada Ogos yang kemudiannya dihantar sebulan kemudiannya untuk penyelenggaraan selepas perjalanan lebih 1,000 kilometer.
Bagaimanapun selepas dua hari, kereta itu mengalami masalah lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk pada papan pemuka berkelip-kelip, selain lampu kecemasan juga menyala menyebabkannya perlu dihantar semula ke pusat penyelenggaraan.
“Kereta dihantar semula ke pusat servis selama seminggu. Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung,” katanya mendakwa masalah keretanya tidak dapat dikesan sehingga kini.
Sementara itu, jurucakap Honda berkata syarikat itu telah memulakan siasatan dalaman menyeluruh dan telah menghubungi Noriya berhubung masalah berkenaan.
Masalah dihadapi Noriya itu menyusul selepas kontroversi membabitkan seorang wanita apabila Perodua Bezza dibelinya rosak dalam tempoh lapan jam selepas diserahkan, sebelum masalah berkenaan selesai selepas Perodua bersetuju membelinya semula dengan harga penuh.