Firma Jepun tarik diri, projek HSR tak terjejas, kata Loke

Firma Jepun tarik diri, projek HSR tak terjejas, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata, selain firma Jepun, ratusan syarikat lain menyatakan minat untuk terlibat dengan projek HSR.

Firma Jepun bebas membuat keputusan sama ada untuk menyertai projek HSR atau tidak kerana ia masih pada peringkat proses Permintaan Maklumat, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak terjejas walaupun firma Jepun menarik diri daripada terbabit dengannya, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, firma Jepun bebas membuat keputusan sama ada untuk menyertai projek berkenaan atau sebaliknya kerana ia masih pada peringkat proses Permintaan Maklumat (RFI).

“Kalau Jepun tidak berminat masuk tender itu, terpulanglah. Kita buat RFI secara terbuka, mengapa kita (Malaysia) harus rasa tertekan?

“Mungkin (firma Jepun) rasa tidak sesuai dengan model yang kita mahu laksanakan. Jadi, terpulanglah, banyak pihak lagi bahkan beratus syarikat menyatakan minat,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di stesen KTM Batu Caves.

Loke berkata, proses RFI akan berakhir Isnin ini manakala keputusan syarikat-syarikat yang menyatakan hasrat dalam HSR akan diketahui selepas itu, sebelum beralih ke peringkat Proses Permintaan Cadangan (RFP).

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek HSR Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek berkenaan.

Ia berikutan laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber bahawa keputusan syarikat negara itu untuk menarik diri adalah disebabkan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.