
Katanya, perkara itu menunjukkan syariat Islam adalah fleksibel dan sentiasa mengambil kira keadaan hidup manusia yang berubah-ubah.
Beliau mengulas saranan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah yang menasihati pekerja Islam di bank itu berusaha sebaik mungkin mencari pekerjaan halal lain.
Luqman berkata, bank konvensional mempunyai muamalat berasaskan riba yang boleh menjurus kepada hukum haram jika orang Islam terlibat aktiviti itu.
“Perlu diketahui bahawa hukum ketika seseorang berada dalam situasi darurat atau terdesak adalah dianggap suatu kekecualian daripada hukum biasa atau hukum asal.
“Ia adalah kebenaran sementara sahaja, bukan tetap atau kekal,” kata Wan Salim bersetuju dengan saranan Luqman.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan dua kategori bagi mereka yang bekerja di bank konvensional – golongan bekerja secara langsung dengan transaksi riba yang hukumnya haram, manakala kategori pekerja kedua yang tidak terkait transaksi riba hukumnya harus.
Sementara itu, Luqman menjelaskan walaupun berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, orang Islam perlu berusaha keluar dari “tempat kerja haram”.
“Berusaha terlebih dahulu mendapatkan kerja diakui syarak sehingga apabila dapat kerja sesuai dan halal, barulah tinggalkan kerja di tempat yang haram,” katanya kepada FMT.