
Pengerusinya, Charles Santiago, berkata air sisa terawat akan memberi manfaat khususnya kepada industri, memandangkan loji rawatan kumbahan berada berdekatan kilang di Bayan Baru dan Jelutong.
Dalam wawancara bersama FMT, beliau berkata Sungai Muda yang menjadi 80% sumber air Pulau Pinang, susut dengan cepat apabila parasnya turun mendadak hanya 7% berbanding sebelumnya.
“Pulau Pinang perlu mula melihat kepada sumber air dalaman, dan menggunakan apa yang berlebihan,” katanya sambil menambah merawat air sisa lebih murah berbanding memproses daripada sungai.
Kajian SPAN mendapati Pulau Pinang mampu merawat air sisa 200 juta liter air sehari (MLD) dari pulau sahaja. Ketika ini, negeri ini mengeluarkan 1,126 MLD daripada sembilan loji rawatan air seluruh negeri.
Santiago berkata, merawat air sisa menjadi amalan antarabangsa dengan air terawat berkenaan telah diguna pakai dalam sektor pertanian dan elektronik di sini.
Beliau berkata, beberapa negara membangun juga mewajibkan industri hanya mengguna pakai air sisa bagi pengoperasian, termasuk India mengkehendaki kilang di negara itu menggunakan 50% air sisa terawat.
“Negeri ini perlu bersiap sedia untuk merawat air sisa dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kerajaan negeri sepatutnya mewajibkan penggunaan air itu sahaja dalam sektor pembinaan, pembuatan, dan pertanian. Ia menjadi pilihan piawaian antarabangsa hari ini,” katanya.
Santiago berkata, program rintis di Selangor menyaksikan kilang pembuatan sarung tangan getah sudah memanfaatkan air sisa terawat apabila menerima bekalan stabil dua juta MLD.
Katanya, Loji Rawatan Indah Water Bayan Baru, terletak di Zon Industri Bebas, mampu mengeluarkan 50 MLD, manakala loji Jelutong tidak jauh dari lokasi berkenaan berupaya mengeluarkan tiga kali ganda daripada jumlah itu.
Katanya, loji rawatan air sisa mudah dibina bersebelahan loji rawatan Indah Water.