Paip di Sungai Perai bocor lagi, PBAPP sedang siasat punca, lokasi

Paip di Sungai Perai bocor lagi, PBAPP sedang siasat punca, lokasi

Pihak PBAPP sedang cuba memastikan sama ada kebocoran itu berada pada bahagian yang sama yang telah dibaiki semalam.

Sungai Perai ialah lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan satu lagi kebocoran saluran paip bawah air di dasar Sungai Perai telah dikesan.

PBAPP berkata, kakitangannya sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran itu untuk memastikan sama ada ia berada pada bahagian yang sama yang telah dibaiki semalam.

“Walaupun berlaku kebocoran, PBAPP akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini dan ⁠pengguna pemulihan tahap kedua diminta untuk menyimpan air,” kata PBAPP dalam kenyataan.

“Saluran paip itu mungkin akan ditutup kemudian untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan, ia masih dalam siasatan. PBAPP akan berkongsi hasilnya apabila ia mempunyai maklumat dan data yang tepat.”

Semalam PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah disiapkan, membabitkan kerja-kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan, selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200mm di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Sementara itu, Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata, kejadian kebocoran saluran paip tersebut akan menyebabkan pemulihan air bagi penduduk di kawasan Relau, Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Sungai Batu mengalami kelewatan atau terhenti semula.

Berikutan itu, katanya, beliau berharap PBAPP dapat meningkatkan penghantaran bekalan air melalui lori tangki di kawasan terlibat kerana kebanyakan penduduk sudah kehabisan air selepas mengalami gangguan bekalan air berjadual sejak Rabu lepas.

Azrul Mahathir berkata, pada masa ini terdapat 10 lori tangki air yang diletakkan di kawasan DUN Bayan Lepas untuk kegunaan penduduk dan kebanyakan telah kehabisan air serta perlu diisi semula.

PBAPP dalam kenyataan pagi ini memaklumkan tahap kedua pemulihan bekalan air telah bermula dari 6 pagi tadi dengan pengepaman optimum air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau.

Pihak PBAPP menyasarkan untuk memulihkan bekalan kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.