
Sejak bulan lalu, negara itu menghentikan eksport bawang sehingga Mac depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna menyebabkan Malaysia terpaksa mengalihkan sumber ke China serta Pakistan.
Ameer berkata beliau mendapat tahu bekalan di India dijangka bertambah dalam tempoh dua bulan yang memungkinkan kerajaannya menghentikan sekatan.
“Ada dengar dari pasaran bahawa India telah mula memasuki musim bawang dan akan ada banyak bekalan. Dijangka dalam tempoh satu hingga dua bulan (sekatan) India dihentikan.
“Kita harap daripada itu harga (bawang) akan turun dari pasaran,” katanya kepada FMT.
Menurut Ameer, walaupun telah beralih kepada negara sumber lain namun masalah kenaikan harga akibat kekurangan bekalan bawang dari India masih tidak dapat dielakkan ketika ini.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan harga bawang China naik dari RM1.99 kepada RM4.99 sekilogram selepas negara itu meningkatkan harga eksportnya.
“Bawang yang sama kualiti kami boleh dapat daripada Pakistan…sekarang dijual RM6.99 sekilogram. Barang tiada masalah cuma harga sahaja.
“Kami (pengimport) tak boleh buat apa kerana masalah ini fenomena global, bukan sekadar berlaku di Malaysia sahaja,” katanya sambil mengakui pengguna perlu bersabar pada masa kini.
Sebelum ini, FMT melaporkan keluhan pengguna khususnya pengusaha makanan sekitar Lembah Klang, mendakwa berlaku peningkatan harga bawang termasuk dari China yang kini menjadi alternatif susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.
Mereka mendakwa harga bawang China yang dahulu berharga RM1.90 sekilogram kini meningkat kepada RM4 manakala ada bawang dari Pakistan mencecah sehingga RM6.90.
Pada 16 Disember lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan untuk menambah bekalan selain menghalang perubahan ketara kepada harga runcit bawang.