
Menteri pengangkutan itu berkata, keputusan ini dibuat memandangkan setiap kali kempen berkenaan dilancarkan, ia akan melibatkan kos hampir RM200,000 termasuk perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siar raya dan pemasangan khemah.
“Semua majlis pelancaran ini tidak perlu, tetapi operasi bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diteruskan.
“Kita hentikan majlis perasmian sahaja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 Kementerian Pengangkutan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, syarikat swasta boleh mengadakan majlis sedemikian jika mahu.
“Kalau syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
“Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik, mungkin berikan topi keledar percuma.”
Terdahulu dalam amanatnya, beliau berkata, antara fokus kementerian tahun ini adalah membudayakan aspek keselamatan, tidak kira sektor darat, udara mahupun maritim.
Memberi contoh bahawa hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya tahun lepas, Loke berkata, keselamatan pengguna pengangkutan awam merupakan keutamaan kementerian dan program-program yang akan dilaksanakan kelak perlu mencapai tujuannya.
Fokus lain termasuk memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik, mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan dan memacu intervensi berdasarkan inovasi pendigitalan.
Loke berkata, beliau juga telah meminta supaya pelaporan prestasi setiap agensi bawah kementerian dibuat secara berkala sebagai kayu pengukur program yang dilaksanakan.
“Saya guna pendekatan ini agar kesemua inisiatif kementerian ada rancangan komunikasi yang berterusan. Dengan ini kita akan bina keyakinan terhadap kementerian,” katanya.