Loke akan jumpa MYAirline susulan laporan pelaburan dari Timur Tengah

Loke akan jumpa MYAirline susulan laporan pelaburan dari Timur Tengah

Menteri pengangkutan itu berkata, beliau perlu mendengar sendiri daripada pihak MYAirline tentang perjanjian itu.

MYAirline secara tiba-tiba menggantung operasinya pada 12 Okt tahun lepas, kurang setahun selepas ia mula beroperasi.
PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook akan bertemu dengan pihak MYAirline Sdn Bhd selepas syarikat penerbangan tambang murah itu dilaporkan menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan pelabur dari Timur Tengah bulan lepas.

“Saya akan bertemu mereka (MYAirline) tak lama lagi. (Saya nak) dengar daripada mereka dahulu … saya tak pasti apa cadangannya (menerusi perjanjian itu),” katanya kepada pemberita.

“Ada beberapa syarat yang akan dikenakan jika (MYAirline) hendak mulakan semula operasi. (Pihak MYAirline) mesti pastikan semua penumpang dibayar balik dan apa yang dihutang kepada kakitangan juga dibayar.”

MYAirline secara tiba-tiba menggantung operasinya pada 12 Okt tahun lepas, memetik “cabaran kewangan yang teruk”, kurang setahun selepas ia mula beroperasi.

Awal hari ini, Bernama melaporkan sumber berkata, dengan SPA yang ditandatangani dengan pelabur dari Timur Tengah itu, diharapkan MYAirline boleh melaksanakan usaha untuk menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan belum menerima sebarang maklumat berhubung laporan palam pintu tertera “Made in Malaysia” didakwa tercabut daripada pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9, yang mendarat cemas di Portland, Oregon, minggu lepas.

“Kita akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melihat perkara itu jika kita menerima sebarang maklumat rasmi daripada syarikat penerbangan terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan Batik Air akan menawarkan tambang tetap kelas ekonomi bagi laluan sehala RM399 antara Kuala Lumpur dan Sibu, bermula 6 hingga 9 Feb.

Syarikat penerbangan itu juga bersetuju menyediakan penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.