Anwar nyata pendirian tegas kecam Zionis kepada Jerman

Anwar nyata pendirian tegas kecam Zionis kepada Jerman

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata pendirian itu disampaikan perdana menteri kepada Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock, yang mengadakan kunjungan hormat hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kanan) mengiringi Annalena Baerbock semasa menerima kunjungan hormat menteri luar Jerman itu di Perdana Putra hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan pendirian Malaysia kepada Jerman bahawa negara ini tidak memperakui Israel dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis terhadap pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa terutama golongan wanita dan kanak-kanak.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata pendirian tegas Malaysia itu disampaikan Anwar kepada Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock, yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di Perdana Putra di sini hari ini.

“Isu di Gaza, perdana menteri dengan tegas menyatakan bahawa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa, wanita dan kanak-kanak yang ramai telah terbunuh,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.

Mohamad berkata Anwar turut menggesa perlunya negara Jerman selaku rakan baik Israel agar memberikan penekanan supaya diadakan segera gencatan senjata dan menghentikan pengeboman serta apa jua keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Selain itu, Mohamad berkata perdana menteri menyampaikan hasrat agar pertukaran wacana intelektual antara Malaysia dan Jerman diperbanyakkan memandangkan persepsi berbeza antara Timur dan Barat.

“Ramai pemikir dari Jerman walaupun bukan beragama Islam tetapi mereka banyak mengeluarkan rencana berkenaan dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata ini boleh dipertingkatkan dengan menangani “pertembungan kejahilan” kerana kurang pemahaman mengenai Islam yang mengakibatkan perasaan syak wasangka yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.