Ura-ura Pakistan sekat eksport bawang, Fama cari sumber baharu

Ura-ura Pakistan sekat eksport bawang, Fama cari sumber baharu

Menurut Aminuddin Zulkipli berkata Pakistan dikatakan akan mengikut jejak India yang menyekat eksport bawang kerana masalah bekalan.

Pengguna terutama peniaga makanan mengeluh kenaikan harga bawang dari China yang menjadi alternatif kepada bawang India yang menyekat eksport sejak bulan lalu.
PETALING JAYA:
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mula mencari sumber baharu bekalan bawang bagi menstabilkan harganya susulan ura-ura Pakistan bakal mengikut jejak India menyekat pengeksportan sayuran itu.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata pihaknya menyedari permintaan terhadap bawang dijangka meningkat dalam beberapa bulan ke depan iaitu sempena perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri.

“Kami (Ketika ini) terpaksa beralih kepada bawang dari China dan Pakistan apabila sekatan eksport dikenakan India namun ada ura-ura Pakistan juga mungkin sekat kerana masalah bekalan dihadapi mereka,” katanya kepada FMT.

Jika keadaan itu berlaku, Aminuddin berkata Fama telah mengambil persediaan dengan mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mengelakkan masalah bekalan berkurangan pada musim perayaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan bertemu wakil kerajaan India dan Pakistan supaya mereka dapat menghentikan sekatan secepat mungkin.

“Kami akan berusaha untuk bertemu G2G (kerajaan kepada kerajaan) iaitu mengadakan lawatan dan berbincang dengan kerajaan India dan Pakistan secepat mungkin supaya mereka dapat menghentikan sekatan itu,” katanya.

Bulan lalu, FMT melaporkan keluhan pengguna terutama pengusaha makanan sekitar Lembah Klang, mendakwa berlaku peningkatan harga bawang termasuk dari China yang kini menjadi alternatif susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.

Mereka mendakwa harga bawang China yang dahulu berharga RM1.90 sekilogram kini meningkat kepada RM4 manakala ada bawang dari Pakistan mencecah sehingga RM6.90.

Pada 16 Dis lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan untuk menambah bekalan selain menghalang perubahan ketara kepada harga runcit bawang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.