Insaflah, tak perlu tuduh orang, Hamzah bidas Ngeh

Insaflah, tak perlu tuduh orang, Hamzah bidas Ngeh

Setiausaha agung Bersatu menyifatkan kenyataan Ngeh Koo Ham tidak bertanggungjawab apabila cuba mengaitkan kebakaran rumahnya dengan pembangkang.

Hamzah Zainudin berkata Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham sepatutnya memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain berhubung kebakaran rumahnya.
PETALING JAYA:
Bersatu mengecam tindakan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang didakwa cuba mengaitkan insiden kebakaran rumahnya dengan pembangkang.

Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin, turut menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab.

“Dalam urusan agama Islam ini tidak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan. Kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ngeh mendakwa insiden kebakaran di kediamannya dipercayai berpunca daripada kenyataannya pada 28 Dis lalu berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Bagaimanapun, dia turut mendakwa konon PAS dan Bersatu mengapi-apikan isu terbabit supaya orang membencinya.

Susulan perkara itu, satu laporan polis dibuat Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ini bagi mengekang fitnah pemimpin DAP berkenaan berhubung kejadian terbabit kerana ia mendahului siasatan polis.

Dalam pada itu, Hamzah turut menggesa polis segera memburu dalang sebenar kejadian tersebut yang ketara bercanggah dengan undang-undang dan mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat secara aman dan harmoni di negara ini.

Katanya, orang ramai dinasihati mengambil iktibar dan berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan terutama apabila menyentuh berkaitan hal sensitif.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.