Tak pelik Ahli Parlimen PKR sendiri beria cadang jalan tukar Anwar, bidas Wan Saiful

Tak pelik Ahli Parlimen PKR sendiri beria cadang jalan tukar Anwar, bidas Wan Saiful

Cadangan itu didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati dalam kalangan wakil rakyat PKR dengan kepimpinan Anwar kerana gagal melaksanakan janji reformasi.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata para wakil PKR bertanggungjawab atas kegagalan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menolak ‘nasihat’ Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim supaya mereka memfailkan segera usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim sebelum Dewan Rakyat mula bersidang bulan depan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa cadangan itu menunjukkan ada dalam kalangan wakil rakyat PKR tidak berpuas hati dengan kualiti kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri kerana gagal melaksanakan janji reformasi yang dicanang sekian lama.

“Tak pelik jika Ahli Parlimen PKR sendiri beriya-iya mencadangkan jalan menukar Anwar,” katanya kepada FMT.

“Saya nasihatkan kepada wakil rakyat PKR dan lain-lain Ahli Parlimen dalam kerajaan, kamu bertanggungjawab atas kegagalan Anwar menjaga kebajikan rakyat. Kamu bertanggungjawab atas kegagalan Anwar mengawal kenaikan kos sara hidup.

“Kamu bertanggungjawab atas kegagalan Anwar membina hala tuju negara. Sebab kamulah yang mempertahankan PM pendendam yang tidak kompeten dan tidak ada hala tuju,” tambahnya.

Dakwa pemimpin Bersatu itu, Hassan terpaksa mengheret Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan ideanya kerana bimbang beliau dikenakan tindakan jika berbuat demikian.

“Cuma saya faham lah dia (Hassan) terpaksa kaitkan PN dalam hal ini walaupun itu sebenarnya idea dia. Sebab kalau dia akui bahawa dia sendiri memang mahu tolak Anwar, nanti dia kena tindakan pula.

“Jadi Ahli Parlimen kerajaan tak payah nak nasihatkan kami dalam PN, cermin diri kamu dulu kerana disebabkan kamu tak habis-habis mengampu Anwar rakyat negara kita semakin susah,” tegasnya.

Semalam, Hassan menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb depan, jika serius mahu menguji keabsahan Anwar yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan Langkah Dubai.

Menurutnya, tindakan itu boleh dilaksanakan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan dan usul perlu dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan.

Terdahulu FMT melaporkan kenyataan seorang peguam, Bastian Pius Vendargon, bahawa cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar adalah di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan wujudnya “Langkah Dubai”, perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Hassan berkata penyokong dari blok kerajaan tidak perlu mengemukakan usul undi percaya kerana mereka yakin Anwar mempunyai majoriti untuk terus menjadi perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.