Stadium Merdeka dibuka semula suku kedua tahun ini

Stadium Merdeka dibuka semula suku kedua tahun ini

Usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti ketika 1957 mendapat kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

Stadium Merdeka ditutup sejak 2016. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Stadium Merdeka, antara mercu tanda ikonik bersejarah negara yang ditutup sejak 2016 dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Arshad Raja Uda berkata, usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti ketika 1957 mendapat kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

“Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharapkan dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah malam tadi.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan menguruskan Stadium Merdeka.

Ia termasuk pemindahan teres tempat duduk untuk kapasiti tempat duduk lebih besar, iaitu 45,000 tempat duduk yang dibina untuk Sukan SEA 1989.

Stadium Merdeka dianggap keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun serta menjadi lokasi detik paling bersejarah apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

Mengenai majlis perasmian malam tadi, Arshad berkata, PNB mula memindahkan operasi secara berperingkat ke Menara Merdeka 118 sejak Disember lalu dan ia akan menduduki 17 tingkat bagi menempatkan kira-kira 1,500 warga PNB.

Katanya, Menara Merdeka 118 terbahagi kepada 83 tingkat lantai pejabat premium gred A, manakala Park Hyatt Kuala Lumpur yang dijangka beroperasi pertengahan tahun ini akan menduduki 17 tingkat atas.

Menara canggih dengan 118 tingkat berketinggian 678.9m itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828m.

Direka bentuk Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4m).

Sebelum ini, kedudukan menara kedua tertinggi itu dipegang Shanghai Tower pada ketinggian 632m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.