
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata pihaknya bersifat terbuka jika terdapat laporan rasmi diterima dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita sentiasa bersifat terbuka apa yang terjadi. Kalau ada bukti dan fakta saya minta pihak berkenaan buat laporan secara rasmi supaya kita boleh mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wisma Cuepacs.
Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) berkata walaupun pekerja asing masuk ke dalam negara secara sah namun mereka hanya dibenarkan bekerja di lima sektor.
Papsma berkata, situasi itu mengakibatkan ada antara mereka tidak berjaya mendapatkan pekerjaan seterusnya menyumbang kepada kebanjiran pekerja asing.
Sementara itu, Sim berkata KSM akan memberi fokus untuk mencapai keputusan secepat mungkin berhubung penyelarasan dasar dan pengurusan bagi isu pekerja asing yang dieksploitasi di Malaysia.
Katanya, perinciannya akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri 16 Jan ini.
“Komitmen kita adalah untuk membuat keputusan secepat mungkin tentang penyelarasan dasar dan keputusan isu pekerja asing di Malaysia.
“Dalam mesyuarat itu juga akan dibincangkan kalau ada perkara yang perlu ditambah baik dasar-dasar yang perlu diselaraskan di kedua-dua kementerian,” katanya.