
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan MoU itu ditandatangani Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.
Bernama melaporkan Anwar turut menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Lee dan delegasinya, yang sebelum itu menyaksikan majlis penyempurnaan span Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
Kedua-dua negara bekerjasama untuk mewujudkan SEZ, bersebelahan sempadan Singapura, bagi memupuk hubungan perniagaan lebih kukuh dan meningkatkan kesalinghubungan dua negara jiran, ketika rantau Asia Tenggara berusaha mengatasi kelembapan ekonomi global.
SEZ pada mulanya dicadangkan Rafizi selepas mengadakan pertemuan dengan kerajaan Johor di Iskandar Puteri pada Mei 2023. Kedua-dua negara bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan SEZ dua bulan kemudian.
SEZ juga dijangka menambah baik ekosistem perniagaan Wilayah Iskandar Malaysia dan Singapura.
Sektor disasarkan SEZ termasuk elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan.
Tahun lalu, Johor memperoleh RM70.6 bilion pelaburan asing dalam pelbagai sektor.
Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di Johor, menyumbang kira-kira 70% daripada jumlah pelaburan langsung asing negeri itu dalam sektor pembuatan.