Kerajaan sambut baik cadangan lebih banyak rangkaian hubung Malaysia-Singapura

Kerajaan sambut baik cadangan lebih banyak rangkaian hubung Malaysia-Singapura

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata cadangan untuk rangkaian pengangkutan itu perlu diluluskan kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat pada sidang media hari ini.
JOHOR BAHRU:
Kerajaan mengalu-alukan cadangan sektor swasta untuk rangkaian pengangkutan alternatif bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, cadangan untuk rangkaian pengangkutan itu yang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan perlu diluluskan kedua-dua negara.

“(Prosedur) ini melibatkan banyak perkara, bukan hanya mod pengangkutan, tetapi infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan, seperti kompleks kastam, imigresen dan kuarantin.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong bergambar selepas majlis hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menandatangani plak peringatan untuk menandakan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura secara simbolik.

Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin antara Johor Bahru dan Singapura.

Turut hadir Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat dan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan.

Projek dibangunkan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) sepanjang 4km itu menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura.

Ia dijangka dapat membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak.

Loke dan Chee berkata, RTS Link mengikut jadual untuk beroperasi menjelang Januari 2027, dengan tambang akan ditentukan sebelum projek itu siap.

“Kami akan memastikan kontraktor dari kedua-dua pihak melaksanakan semuanya dengan sewajarnya,” kata Loke.

Chee berkata, sambungan darat ketiga itu ditunggu-tunggu penduduk Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.