
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Johor masih kekal menjadi negeri paling teruk terjejas apabila seramai 5,022 mangsa masih berlindung di 36 PPS, lapor Bernama.
Batu Pahat mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir dengan 87 orang yang berlindung di dua PPS manakala di tiga daerah pula mencatatkan penurunan iaitu Johor Bahru (338 mangsa), Kluang (350) dan Kota Tinggi (4,135).
Di Pontian dan Segamat pula jumlah mangsa kekal masing-masing 17 orang di sebuah PPS dan 95 di tiga PPS.
Sementara itu, keadaan banjir di Pahang semakin baik apabila hanya 780 mangsa ditempatkan di sembilan PPS di negeri itu.
Keadaan banjir di Sarawak pula semakin pulih apabila hanya 38 penduduk masih berlindung di sebuah PPS di Kuching.
Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Endau di Kluang.
Sungai Pahang di Maran, Pekan dan Bera serta Sungai Rompin di Rompin, Pahang; Sungai Kelantan di Kota Bahru, Kelantan; Sungai Arau di Arau, Perlis; dan Sungai Klang di Klang, Selangor turut mencatatkan paras bahaya.
Laporan itu turut memaklumkan terdapat 52 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Pahang Tua-Ganchong-Pulau Manis di Pekan, Pahang dan Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor.