2 pekerja kilang maut motosikal bertembung

2 pekerja kilang maut motosikal bertembung

Salah seorang mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Keadaan motor mangsa yang remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Sik, Kedah malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dalam kejadian di Sik, Kedah kira-kira 9.30 malam tadi.

Dalam kejadian di Jalan Kampung Kalai itu, mangsa Muhamad Jeffri Mat Said, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di belakang kepala.

Manakala seorang lagi mangsa, Mohd Zarif Ahmad Kamal, 32, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC turut mengalami kecederaan sama dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik.

Ketua Polis Sik, Abdull Razak Osman, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika Muhamad Jeffri sedang menuruni jalan yang berbukit sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan berlaku pertembungan dengan penunggang Yamaha 135LC di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang Yamaha Ego Solariz itu terbabas ke kiri jalan manakala seorang lagi penunggang terpelanting di bahu kanan jalan dan jatuh di atas jalan raya.

“Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sik,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.