Pertimbang parol untuk penjenayah kesalahan serius, kata peguam

Pertimbang parol untuk penjenayah kesalahan serius, kata peguam

Buat masa ini, parol tidak diberikan kepada mereka yang menghadapi hukuman mati, pesalah seks dan kes keselamatan negara.

Atlet paralimpik Afrika Selatan, Oscar Pistorius dilepaskan dengan parol minggu lalu selepas selesai menjalani separuh tempoh hukuman penjaranya atas kesalahan membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp pada 2013.
PETALING JAYA:
Kerajaan wajar mempertimbangkan parol untuk mereka yang disabitkan atas kesalahan serius memandangkan mahkamah kini mempunyai kuasa memberikan hukuman penjara lebih lama, menurut seorang peguam.

Salim Bashir berkata, peralihan daripada konsep tradisional yang menghukum penjenayah dengan memenjarakan mereka untuk tempoh penuh hukuman ditetapkan, akan menggalakkan perubahan, pemulihan dan kemasukan semula dalam masyarakat.

Sistem parol diperkenalkan di Malaysia pada 2018 menerusi pindaan terhadap Akta Penjara 1995. Mengikut sistem sedia ada, pesalah yang dihukum penjara setahun atau lebih dan menjalani sekurang-kurangnya separuh tempoh pemenjaraan boleh memohon dilepaskan dengan parol.

Jika diizinkan Lembaga Parol, orang yang diparol dibenarkan menjalani baki hukuman mereka di luar penjara, tertakluk kepada syarat tertentu.

Bagaimanapun, Salim berkata, parol buat masa ini tidak terpakai untuk mereka yang disabitkan kesalahan di bawah Jadual Keempat Akta Penjara, termasuk pesalah seks, hukuman mati dan kes keselamatan negara.

“Kerajaan patut mempertimbangkan semula dan menyemak sekatan melibatkan golongan disabitkan atas kesalahan serius tersenarai dalam jadual berkenaan,” katanya kepada FMT.

Bekas presiden Badan Peguam itu mengulas pembebasan bekas atlet paralimpik Afrika Selatan, Oscar Pistorius dengan parol minggu lalu, hampir 11 tahun selepas membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp, 29, pada Hari Valentine 2013.

Lembaga parol pada November lalu bersetuju melepaskan Pistorius, selepas dia selesai menjalani lebih separuh daripada tempoh hukuman penjara 13 tahun lima bulan.

Pada 4 Julai lalu, undang-undang digubal Parlimen Malaysia berkuat kuasa yang memberi hakim budi bicara untuk mengenakan hukuman penjara berbanding hukuman mati bagi pelbagai kesalahan serius, termasuk bunuh dan mengedar dadah.

Bagi kes bunuh, hakim kini boleh menjatuhkan hukuman penjara 30 hingga 40 tahun, manakala tempoh maksimum bagi mengedar dadah kini 30 tahun.

Salim berkata, peraturan parol juga perlu dipinda seiring perubahan itu bagi membolehkan banduan warga asing menjalani baki hukuman penjara di negara asal, asalkan kerajaan mempunyai aturan sewajarnya dengan negara berkenaan.

Peguam Jay Moy berkata, meluaskan parol untuk merangkumi kumpulan pesalah lebih besar akan menjimatkan wang pembayar cukai.

“Sudah pasti ini akan membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara dan meredakan kebimbangan isu keselamatan serta kesihatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.