
Dalam kenyataan pihak berkuasa itu berkata mereka setakat ini belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak terutama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terbabit.
Bagaimanapun, agensi turut mengesahkan bahawa Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) akan bertemu MyCC pada 19 Jan ini.
“MyCC ingin menjelaskan bahawa kami telah menulis surat kepada KPB pada Okt 2023 menyatakan kesediaan untuk memahami dan membincangkan isu-isu mengenai industri padi dan beras agar kami dapat memberikan pendapat, sekiranya wujud sebarang isu persaingan,” katanya.
Kenyataan itu hadir susulan kenyataan Azman bahawa pihaknya bersama MyCC akan bermesyuarat pada 19 Jan depan bagi menyiasat dakwaan kartel oleh Gabungan Pengilang Beras Malaysia.
NGO itu mendakwa ada kartel yang dimonopoli oleh empat hingga lima syarikat besar dalam menentukan harga padi, beras serta pembekal benih. Kartel itu juga dikatakan memonopoli lebih 60% pengeluaran beras negara.
MyCC turut mengingatkan media berhati-hati sambil menambah KPB telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 4 Jan bahawa tiada isu persaingan berkaitan padi dan industri beras.