
Susulan itu, beliau berkata negara akan beralih kepada model dwirangkaian 5G tidak lama lagi.
“Jumaat ini pasukan petugas khas 5G akan mengadakan mesyuarat bersama Digital Nasional Bhd (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan syarikat telekomunikasi untuk membincangkan hala tuju seterusnya,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Malaysia akan beralih kepada dwi rangkaian 5G sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Kabinet mengutuk tindakan pihak menyerang kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menggunakan bahan letupan ‘molotov cocktail’.
“Rakyat Malaysia diingatkan sentiasa mengambil tindakan berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.
Dalam kejadian 2.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan sebuah kereta musnah manakala dua lagi rosak.
Ia termasuk Mercedes E300 yang terbakar kira-kira 80%, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar 5%, serta bumbung anjung rumah.
Ngeh dan isterinya dilaporkan sedang tidur semasa kejadian, sebelum mereka dikejutkan orang awam yang melalui kawasan itu dengan menekan loceng rumah.
Bulan lalu, Ngeh menimbulkan kontroversi susulan cadangannya melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah, yang dibantah pemimpin Umno dan pembangkang kerana menganggap beliau cuba mencampuri hal ehwal Islam.
Penasihat DAP Perak itu kemudiannya memohon maaf dan menarik balik saranannya sambil menjelaskan beliau tiada niat mencampuri hal ehwal Islam.