Laporan ‘sensasi’ tentang pengampunan Najib tak berasas, kata peguam

Laporan ‘sensasi’ tentang pengampunan Najib tak berasas, kata peguam

Shafee Abdullah berkata, sidang Lembaga Pengampunan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Sidang Lembaga Pengampunan untuk mempertimbangkan permohonan Najib Razak dijalankan secara rahsia, menurut Shafee Abdullah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili Najib Razak menyangkal laporan Channel NewsAsia (CNA) bahawa Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat dalam bulan ini untuk membincangkan permohonan pengampunan diraja bekas perdana menteri itu.

Shafee Abdullah berkata, sidang lembaga itu dianggap rahsia penting, dengan identiti anggotanya dan tarikh mesyuarat tidak dihebahkan.

“Oleh itu, jelaslah bahawa jika lembaga itu bersidang untuk mempertimbangkan permohonan (pengampunan diraja) Najib, ia akan dijalankan secara rahsia kerana tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi.

“Kami sebagai peguam Najib yang terlibat dalam petisyen pengampunannya tidak pernah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil oleh Lembaga Pengampunan (jika ada) berkaitan petisyen anak guam kami.”

Justeru, kata Shafee, pihaknya bingung bagaimana CNA boleh membuat spekulasi berhubung khabar tidak berasas ini.

“Kami tidak tahu siapa sumber tidak dinamakan yang CNA percayai untuk (menghasilkan) cerita sensasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Memetik sumber “pegawai kanan kerajaan” yang tidak dinamakan sebagai berkata, lembaga memutuskan pihaknya memerlukan lebih masa membincangkan permohonan bekas presiden Umno itu, ketika bersidang bulan lalu.

CNA juga memetik “lingkaran dalaman Najib” sebagai berkata, mereka merasakan ada “tahap petunjuk positif” daripada Lembaga Pengampunan berkait permohonan itu.

Shafee berkata, permohonan yang dihantar pada September 2022 sebelum adendum bagi petisyen difailkan pada Oktober tahun sama dan pada April 2023.

Katanya, pihaknya tidak menerima apa jua maklum balas terhadap permohonan berkenaan sehingga penghujung 2023.

“Anak guam kami tertanya-tanya berhubung status petisyen dan mengarahkan kami mengingatkan (kerajaan) Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang melibatkan petisyen tertangguh pada 4 Dis, memandangkan ia telah difailkan lebih 16 bulan dan anak guam kami telah dipenjara selama setahun empat bulan.”

Peguam itu mengingatkan orang ramai peruntukan terkandung dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu adalah hakim Mahkamah Tinggi, kerana salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rayuan di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.