
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah yang ditunjukkan pada November itu mengisyaratkan pertumbuhan ekonomi yang positif, dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang menurun.
“Bilangan tenaga kerja pada Nov 2023 meningkat 0.2% bulan ke bulan kepada 17 juta orang daripada 16.97 juta orang pada Oktober,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah penduduk yang bekerja pada November meningkat 0.2%, berjumlah 16.43 juta orang berbanding 16.40 juta pata Oktober. Pada masa sama, jumlah individu penganggur menurun 0.3% kepada 569,200.
Daripada bilangan mereka yang bekerja, 75.3% berada dalam kategori pekerja yang menunjukkan peningkatan 0.1% kepada 12.37 juta individu. Mereka yang dalam kategori bekerja sendiri juga meningkat 0.3% kepada 2.99 juta.
Pekerjaan dalam sektor perkhidmatan terutamanya informasi dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman, dan pengangkutan dan penyimpanan, menyaksikan peningkatan.
Sektor pembuatan, pembinaan, serta perlombongan dan pengkuarian juga melaporkan peningkatan dalam bilangan mereka yang bekerja pada Nov 2023, manakala sektor pertanian merekodkan penurunan.
Uzir berkata mereka yang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9% daripada jumlah penganggur, berkurangan 0.6% kepada 454,500 individu.
“Bagi individu penganggur aktif, 61.8% menganggur kurang daripada tiga bulan, dan 6.3% berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun,” katanya.
Uzir berkata walaupun berdepan dengan cabaran global, struktur ekonomi yang pelbagai dan asas yang kukuh menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil, terutamanya dalam aktiviti pelancongan.
Mengenai banjir 2023, beliau berkata walaupun ia memberikan kesan kepada beberapa negeri, situasi ini tidak memberikan kesan signifikan kepada keseluruhan pasaran kerja, kerana ia dilihat hanya memberikan kesan kepada kawasan tempatan.
Pasaran buruh dijangka kekal teguh dalam beberapa bulan akan datang, sejajar prestasi ekonomi negara yang semakin meningkat.